Sunday, August 31, 2008

Ramadan Al-Mubarak Datang Lagi



Inilah segugus daripada 8 gugusan buah anggur yang sedang menunggu masak di pohon anggur yang hidup di hadapan rumah saya. Suatu masa dulu, saya begitu kagum apabila melihat pohon-pohon anggur yang tumbuh subur di negara-negara seperti Sepanyol, Peranchis, Australia dan Turki. Kini, alangkah sukanya saya kerana pohon anggur juga tumbuh di rumah saya walaupun saiz buahnya tidak sebesar dan rasanya tidak semanis anggur yang diimpot.


Insya Allah, esok kita akan mula berpuasa. Sebenarnya, waktu inilah yang sangat saya nanti-nantikan kerana selain bertemu Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan, saya juga dapat mengurangkan berat badan yang begitu segan silu untuk turun. Bila tiba bulan Ramadhan, seperti juga di tempat-tempat lain, suasana di Kg Bukit Kapar juga berubah di mana banyak gerai-gerai menjual juadah berbuka puasa akan didirikan bagai cendawan yang tumbuh lepas hujan. Jikalau saya tidak bekerja, seperti hari Sabtu dan Ahad, pasti anak-anak saya yang masih kecil tidak akan lepaskan peluang untuk mengajak saya membeli juadah berbuka puasa.
Tahun ini, anak kedua dan ketiga saya, Muhammad Muaz Hariri dan Muhammad Izzat Rabani akan menduduki peperiksaan awam iaitu SPM dan PMR. Semuga kahadiran Ramadhan yang mulia ini akan memberikan semangat kepada mereka untuk mencipta keputusan yang baik. Menoleh kebelakang sewaktu zaman persekolahan, saya selalu memerhatikan keresahan kedua ibu bapa saya tatkala kami adik beradik mahu menduduki peperiksaan. Bila tiba giliran saya menjadi ayah, maka fahamlah akan segala-galanya.


Tuesday, August 26, 2008

Pengenalan


Assalamu'alaikum w b t.

Sejak usia menjangkau 40an, tanpa disedari telah lahir dalam diri ini kecenderungan untuk menulis. Malahan, antara beberapa perkara yang sangat mahu saya lakukan suatu masa nanti jika dipangjangkan usia, diberi kesihatan, ingin saya jadikan bidang penulisan suatu aktiviti harian. Mencipta blog sendiri telah menjadi cita-cita sejak kebelakangan ini sebab saya fikir, ianya merupakan suatu wadah untuk saya memulakan minat untuk menulis. Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada jiran saya yang juga guru saya (kebetulan dia bekas pensyarah di ITM, Shah Alam tempat saya belajar di awal tahun 1980an dulu) Dr Abdul Wahab Arbain, yang telah banyak membimbing saya dalam pembikinan blog pertama saya ini. Dr Abdul Wahab yang saya dan isteri saya panggil "uztadz" juga adalah seorang peminat tanaman anggur dan dia telah menghadiahkan saya dengan benih anggur yang telah saya tanam dan tumbuh subur di hadapan rumah saya ini.

Bila saya ajukan soalan mengapa dia memilih tanaman anggur sebagai minat, dia menjawab "anggur adalah salah satu dari pohon syurga".

Mengenai mengapa saya memilih nama pena saya, Pak Daud, biarlah ia menjadi misteri para pengunjung yang sudi mengunjungi blog saya ini.